Program CSR bersama MASTI dan PPUMS - Projek Pembinaan Telaga Tiub Kota Belud, Sabah

Wakil PPUiTM di Program CSR - MASTI - Projek Pembinaan Telaga Tiub Kota Belud, Sabah 
Tarikh 18 Mac 2017 (Sabtu) 
Tempat : Kampung Taburan , Kota Belud, Sabah
 




 
Musbah membuka paip air tangki sebagai simbolik masalah air di kampung terbabit selesai.

KOTA BELUD: Penduduk Kampung Taburan kini mula menarik nafas lega apabila permasalahan air yang membelenggu kehidupan harian penduduk selama ini dapat diselesaikan dengan adanya pembinaan Telaga Tiub di kampung berkenaan. Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) antara Universiti Malaysia Sabah dengan kerjasama Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (MASTI) dan Persatuan Pegawai dan Pengurusan Universiti Malaysia Sabah (PPUMS), memberi keceriaan puas kepada warga penduduk berkenaan.

Pembantu Menteri Pertanian dan Makanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.6, Tempasuk, Datuk Musbah Haji Jamli berkata usaha murni inisiatif Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama MASTI dan PPUMS merupakan suatu tindakan murni membantu para penduduk kampung menikmati kemudahan asas di kampung ini. “Dengan adanya telaga tiub ini, para penduduk kampung kini dapat menikmati sumber bekalan air tanpa perlu berulang alik ke sungai dengan jarak yang jauh dan memenatkan.

“Melalui kerjasama ini bukan sahaja dapat menyelesaikan permasalahan penduduk setempat malah dapat menjalinkan hubungan silaturrahim antara penduduk, pemimpin serta rombongan dari UMS, MASTI dan PPUMS,” Katanya semasa merasmikan Telaga Tiub di kampung terbabit pada Sabtu. “Keharmonian yang dikecapi sekarang ini adalah hasil ketinggian budi pekerti masyarakat yang hidup dalam kepelbagaian kaum dan etnik di negeri ini.

Katanya lagi, persefahaman antara kaum penting untuk terus dikekalkan demi kelangsungan hidup masyarakat yang hidup harmoni dan makmur bersama.

“Kerajaan sentiasa menerapkan nilai dan amalan hormat menghormati melalui pelbagai kaedah termasuk mempertahankan keindahan bahasa pertuturan sesuatu kaum yang penuh kesantunan.

“Kadangkala perbezaan budaya ini sebenarnya mampu berlaku salah faham tetapi alhamdulilah di negara kita ianya tidak pernah berlaku kerana kita saling hormat menghormati berkerjasama antara satu sama yang lain. Pada program tersebut pelbagai acara sampingan turut diadakan antaranya ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah SK Taburan yang melibatkan aspek pengurusan jenazah, pemeriksaan kesihatan dan acara sukan.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (akademik dan antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah, Prof D. Kamarudin D. Mudin; Presiden Majlis Pentadbir Universiti Awam (MASTI); Presiden Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional UMS dan wakil-wakil dari 20 universiti awam dari seluruh negara./PENERANGAN-


Sumber : https://www.sayangsabah.com/tiada-lagi-masalah-air-di-kampung-taburan/


 
 sumber http://www.pressreader.com/malaysia/utusan-borneo-sabah/20170320/281565175577956




Telaga Tiub Inisiatif Terbaik Selesaikan Masalah Air Di Kampung Taburan

KOTA BELUD, 18 Mac (Bernama) -- Pembinaan telaga tiub merupakan inisiatif terbaik untuk menyelesaikan masalah air di Kampung Taburan yang terletak kira-kira 35 kilometer dari Pekan Kota Belud, kata Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Musbah Jamli.

Beliau berkata pembinaan telaga tiub berkenaan memberikan banyak manfaat kepada penduduk di situ, khususnya semasa musim kemarau.

"Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya sangat mengalu-alukan pembinaan telaga tiub sebagai usaha yang mampu mempelbagaikan sumber bekalan air kepada penduduk kampung," katanya ketika berucap merasmikan telaga tiub Kampung Taburan, dekat sini hari ini.

Projek pembinaan telaga tiub itu merupakan satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (MASTI) dengan kerjasama Persatuan Pegawai dan Pengurusan Profesional Universiti Malaysia Sabah (PPUMS).

Musbah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tampasuk berkata program CSR seperti itu perlu diteruskan di masa-masa akan datang kerana ia mampu memberi impak tinggi kepada masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.

"Saya juga berharap penduduk kampung dapat memanfaatkan dan menjaga sebaiknya mungkin kemudahan telaga tiub itu," katanya.

Sementara itu, ahli geofizik Abdul Razak Ahmad yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan projek itu berkata, telaga tiub berkenaan mampu memberi manfaat kepada kira-kira 38 buah rumah di kampung itu.

Katanya telaga air yang siap pada 10 Mac lepas itu, mampu menyalurkan bekalan air walaupun ketika musim kemarau yang berlarutan sehingga berbulan-bulan.

sumber -- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.