KERAJAAN TIDAK BERCADANG KURANGKAN BILANGAN PENJAWAT AWAM

JITRA, 1 Mei (Bernama) -- Kerajaan tidak bercadang untuk mengurangkan bilangan penjawat awam di negara ini yang kini berjumlah 1.5 juta orang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kerajaan bukanlah seperti pembangkang yang bercadang untuk membuang separuh penjawat awam atau menguncupkan saiz perkhidmatan awam jika mereka berkuasa.


" Kerajaan hari ini tak ada cadangan sedemikian. Kita mesti faham ini... memang bertimbang rasa," katanya ketika merasmikan Hari Pekerja Penjawat Awam Tahun 2014 di Dewan Wawasan di sini Khamis.


Bagaimanapun, Najib berkata kerajaan memerlukan banyak pertimbangan dalam memenuhi permintaan penjawat awam berdasarkan kemampuan kerajaan.


Sementara itu, Perdana Menteri berkata penjawat awam harus menerima realiti bahawa hambatan masa dan kehendak zaman berubah dengan cepat.


Katanya lima prinsip/kriteria diperlukan pada penjawat awam bagi mendakap tranformasi dan bergerak ke hadapan bagi tempoh 50 tahun akan datang.


" Kriteria pertama: berilmu. Penjawat awam hendaklah memastikan mereka sentiasa berilmu pengetahuan, kreatif, inovatif dan mampu menjadi figura contoh kepada masyarakat.

" Kriteria kedua, kebolehpercayaan. Ia meliputi sifat jujur, amanah, integriti dan diyakini serta mempunyai nilai-nilai murni sejagat yang dipercayai oleh masyarakat," katanya.

Najib berkata kriteria ketiga adalah Budaya Amalan Kerja Terbaik yang merupakan cerminan kewibawaan penjawat awam.


" Kriteria keempat: Semangat Patriotik. Kriteria kelima: Budaya Keberhasilan Yang Berteraskan Hasil. Ini penting bagi meningkat mutu dan kualiti kerja dengan bersandarkan kepada petunjuk prestasi utama (KPI)," kata Najib.


Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sr Mohamad Zabidi Zainal dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menyampaikan lima anugerah sempena sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014.


Bagi Anugerah Bahagian Cuepacs Contoh dimenangi Cuepacs Pahang yang diterima Pengerusinya Kamarulzaman Abdul Razak manakala bagi Anugerah Kesatuan Cemerlang dimenangi Kesatuan Jururawat Malaysia (MNU).


Anugerah Majikan Prihatin, bagi Jabatan Persekutuan dimenangi oleh Polis Diraja Malaysia yang diwakili Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar manakala bagi Badan Berkanun/Pihak Berkuasa Tempatan dimenangi oleh Mara yang diwakili Ketua Pengarahnya Datuk Ibrahim Ahmad.

Ketua Setiausaha Negara pula terpilih bagi Anugerah Khas 2014.

Tema sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 adalah "Penjawat Awam Tiang Seri Negara" yang dilihat sesuai kerana penjawat awam adalah nadi dan inspirasi perkhidmatan awam negara serta merupakan penentu pelaksanaan dan kejayaan dasar kerajaan.



Bernama
1/5/2014

No comments

Powered by Blogger.