UiTM Melaka muncul juara keseluruhan Karnival Sukan Staf UiTM (KARISTA) 2016
MELAKA: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka muncul juara keseluruhan Karnival Sukan Staf UiTM Malaysia (KARISTA) 2016 yang berlangsung di UiTM Seri Iskandar, Perak sejak 19 Mei yang berakhir hari ini. Kampus berkenaan berjaya menewaskan 13 kontinjen lain yang bertanding membabitkan lapan acara sukan termasuk bola sepak veteran dan senior, tenpin bowling, bola tampar lelaki dan wanita, pingpong serta bola sepak 5 sebelah wanita. UiTM Melaka meraih 2 emas dan 1 perak mengungguli saingan. UiTM Perlis di tangga kedua dengan pencapaian 2 emas dan 3 gangsa, manakala Shah Alam di tangga ketiga dengan 2 emas 2 gangsa dan tuan rumah Perak di kedudukan keempat dengan 1 emas, 2 perak dan 4 gangsa.
Majlis perasmian KARISTA 2016 di sempurnakan Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said. Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Profesor Datuk Dr Abdullah Mohamad Said. Dr Hassan berkata, lebih 1,300 kakitangan dan pegawai menyertai kejohanan berkenaan dalam usaha menyemarakkan hubungan silaturahim antara seluruh warga kampus UiTM di Malaysia.
"Pembabitan kakitangan yang aktif dalam sukan memberi impak besar terhadap pembentukan masyarakat universiti yang sihat dan cergas selain pentas mengenal pasti pemain berkualiti yang boleh di ketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. "Antaranya, kejohanan Sukan Badan Berkanun Malaysia, Sukan Antara Universiti Malaysia dan Antarabangsa selain mereka yang lebih berbakat mampu diketengahkan untuk mewakili Malaysia dalam pelbagai acara sukan yang lain,'' katanya. Menurutnya, antara kontinjen yang mengambil bahagian termasuk UiTM Sarawak, Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan UiTM Sungai Buloh.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/157768
Post a Comment