HARI PENTADBIR UNIVERSITI AWAM 20 OGOS 2016



Hari Konvensyen Pentadbir UA 2016 yang akan diadakan pada 20/8/2016 di Dewan AKEPT, semua dijemput hadir.

Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam bakal berlangsung pada 20 Ogos 2016 bertempat di AKEPT merupakan anjuran Majlis Persatuan Pegawai Tadbir UA (MASTI) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPTM), Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan juga Majlis Pendaftar Universiti Awam (UA).


Program bertema “Pentadbir Pemangkin Transformasi Universiti” ini bertujuan menghimpunkan dan mempromosikan pencapaian perkhidmatan pentadbiran melalui pameran hasil inovasi, penerbitan dan juga kejayaan pentadbir di UA.


“Usaha kalinya ini diharapkan dapat membantu dalam membina jenama pentadbir UA sebagai komponen utama yang turut bersama-sama menyumbang kepada kecemerlangan UA dalam pelbagai bidang” kata Encik Azri Hohad, Presiden MASTI.


Pengisian Hari Pentadbir UA ini termasuklah penganjuran Konvensyen Pentadbir dengan majlis perasmian akan disempurnakan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi selain ucaptama oleh Ketua Setiausaha Negara dengan tajuk “Kepimpinan Pentadbir dalam Era Transformasi Pendidikan Tinggi”.


Beberapa nama besar akan terlibat dalam pembentangan seperti Tan Sri Dato Ir Dr Haji Ahmad Zaidee Laidin, Pengerusi Majlis Lembaga Pengarah UA yang akan membentangkan tajuk “Pemantapan Tadbir Urus Pendidikan Tinggi dalam Abad Ke-21 dan Dato’ Wan Azman Wan Omar, Pengerusi Majlis Pendaftar UA yang membentangkan  tajuk “Memartabatkan Peranan Pentadbir Melalui Pengurusan Kejat”.


Profesor Datuk Dr Asma Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, KPT, Profesor Dr Mohamad Kamal Haji Harun, Pengarah AKEPT dan Dr Hajah Zahrah Mokhtar, bekas Pendaftar Universiti Teknologi MARA akan terlibat dalam sesi forum bertajuk “Memperkasakan Pengurusan Secara Keserakanan dalam Memacu Kecemerlangan Universiti”.


Sambutan Hari Pentadbir ini juga buat julung-julung kalinya memperkenalkan beberapa anugerah bagi disampaikan kepada para pentadbir sebagai menghargai sumbangan dan bakti mereka kepada kecemerlangan UA.


Mengambil roh dan semangat Anugerah Akademik Negara yang dikhususkan kepada kakitangan akademik, anugerah-anugerah yang bakal menjadi rebutan para pentadbir UA termasuklah Anugerah Kepimpinan Perdana MASTI, Anugerah Pentadbir Terbilang UA, Anugerah Pentadbir Cemerlang UA bagi 4 kategori iaitu Kategori Kreativiti &  Inovasi, Kategori Penyelidikan, Kategori Penulisan dan Kategori Khidmat Komuniti.


Penganugerahan di peringkat gabungan UA ini dilihat tepat dan kena pada masanya kerana sesetengah Universiti seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris telah pun mengikhtiraf golongan pentadbir dengan memberi Anugerah Tokoh Pentadbir dan Anugerah Pentadbir Harapan kepada pentadbirnya.


Usaha yang dibuat oleh MASTI sebagai payung kepada lebih 7000 pegawai kumpulan pengurusan dan profesional UA wajar dipuji kerana inilah harapan golongan pentadbir di UA agar peranan dan sumbangan mereka diiktiraf.


MASTI yang didaftarkan dengan Pendaftar pertubuhan pada 19 Oktober 2015 sebenarnya mempunyai sejarah panjang dalam memperjuangkan golongan pentadbir melibatkan UA sejak ia ditubuhkan pada  19 Oktober 1996.


Atas pengalaman yang lama itu, kepimpinan MASTI telah mewujudkan Pelan Strategik dan Hala Tuju yang mengandungi program-program berimpak tinggi yang diketuai oleh 5 kluster yang terdiri daripada Jaringan Strategik dan Tanggungjawab Sosial (UMS, UNIMAS, UUM, UNIMAP), Penyelidikan, Inovasi dan Kreativiti (UKM, UiTM, UIAM, UPNM), Governans dan Perundangan Modal Insan (UtEM, UTHM, UTM), Komunikasi Strategik, Penjenamaan dan Perkongsian Pintar (UNISZA, UMK, UMT, UMP) dan Kepimpinan dan Pembangunan Modal Insan (UPSI, UM, UPM, USIM).


Penganjuran Hari Pentadbir UA inilah salah satu kejayaan MASTI dalam memenuhi Pelan Strategik dan Hala Tuju melalui peranan Kluster Kepimpinan dan Pembangunan Modal Insan yang diketuai oleh Mohd Asri Husain, Presiden Pegawai Tadbir dan Ikhtisas USIM (PRAGMATIS). 


Usaha penganjuran ini menjadi realiti apabila pihak AKEPT melalui pertemuan pada 26 Februari 2016 telah bersetuju untuk bekerjasama termasuk menyediakan tempat program dan memberi sumbangan  berbentuk kewangan. MASTI juga turut memperluaskan kerjasamanya dengan KPTM dan juga Majlis Pendaftar UA bagi menjayakan program ini.


Program Hari Pentadbir UA bukan sahaja mengetengahkan konvensyen dan penyampaian anugerah semata-mata, tetapi turut diadakan adalah pameran yang memaparkan kejayaan UA di persada institusi pendidikan tinggi negara. Selain itu, sebuah buku yang mengandungi penulisan artikel para pentadbir 20 UA juga diterbitkan bersempena program ini yang diketuai oleh Dr Razali Othman, Pengerusi Program Hari Pentadbir UA.


UPSI yang diberi amanah sebagai Timbalan Pengerusi III, Hari Pentadbir dan Penolong Setiausaha III dan mengetuai Ahli Jawatankuasa Penjurian Anugerah bersama Universiti Tun Hussein Onn dengan penglibatan aktif daripada AJK Tertinggi PRESTASI yang terdiri daripada Puan Marlina Manja Che Baharum, Encik Ilmizan Ismail dan Puan Nurul Ainie Abdullah.


Aktiviti yang terlibat dalam menguruskan perkara ini termasuklah menghadiri mesyuarat-mesyuarat pada 18 April 2016, 28 April 2016, 10 Mei 2016, 23 Mei 2016, 15 Julai 2016 dan 29 Julai 2016 selain menghadiri mesyuarat dan bengkel di peringkat Induk yang diadakan pada 6 April 2016, 23-24 Mei 2016, 26 Mei 2016, 22 Jun 2016, 29 Jun 2016, 14 Julai 2016 dan Bengkel dan Raptai pada 4-5 Ogos 2016 nanti.


Pengalaman yang diraih oleh AJK UPSI dalam mengetuai Jawatankuasa Penjurian Anugerah ini merupakan pengalaman yang amat berharga. Ini adalah kerana mereka bersama AJK UTHM telah sama-sama menggubal syarat dan peraturan anugerah dan menguruskan permohonan anugerah daripada UA. Pengalaman yang ada itu tentunya akan memberi kelebihan kepada calon-calon UPSI pada masa akan datang.


Selepas mesyuarat akhir pada 29 Julai 2016 nanti, AJK Penjurian Anugerah diamanahkan untuk menyimpan keputusan pemenang sehingga pada malam kemuncaknya, 20 Ogos 2016. Penerima-penerima anugerah Hari Pentadbir UA akan diraikan pada malam itu dalam satu majlis makan malam yang berprestij. Penerima ini akan menerima Sijil dan Plak selain hadiah berupa buku.


Sesungguhnya Hari Pentadbir UA merupakan platform utama kepada golongan pekerja di UA bagi menyerlahkan usaha mereka ke arah mentransformasi Universiti. Selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara (PPTM) (PT) 2015-2025,  pentadbir UA dilihat memainkan peranan penting dalam mentransformasi Universiti bagi menaikkan kedudukan Universiti di persada dunia. Semoga slogan Soaring Upwards akan sentiasa bergema menaikkan reputasi Pendidikan Tinggi Negara.



Penulis ialah Timbalan Pengerusi III, Program Hari Pentadbir UA dan Presiden Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRESTASI), Universiti Pendidikan Sultan Idris.





Please Like + Share  = Viral kan dimedia sosial masing2   letakan   #‎soaringupwards‬
‪#‎MASTIsoaringupwards‬   ‪#‎haripentadbir‬  ‪#‎haripentadbir2016‬

 
https://www.facebook.com/PPUMASTI/ 
 
sumber :
http://prestasi.upsi.edu.my/index.php/berita/71-universiti-awam-bakal-rai-hari-pentadbir


No comments

Powered by Blogger.